Apakah komputer? Soalan ini susah dijawab kerana pencipta komputer adalah ramai. Mereka telah mencipta pelbagai jenis dan rupabentuk komputer sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Pada asalnya komputer ialah alat penghitung yang dinamai abakus (cepoa atau sempoa). Abakus mula muncul 2000-5000 tahun yang lalu di China, Mesir dan Greece. Selepas abakus, banyak lagi alat penghitung telah dicipta di merata dunia. Antaranya termasuklah Napier’s Bones (1610), Pascaline (1642), Leibnitz Calculating Machine (1671) dan Jacquard’s Loom (1790).
JENIS KOMPUTER
Terdapat tiga jenis komputer iaitu:
1. Kerangka Utama dan Superkomputer
· Kerangka utama besar dan pantas. Kerangka utama ini boleh mengendalikan berjuta pengiraan sesaat dan boleh menampung beberapa pengguna melalui terminal dalam masa yang serentak. Satu sistem yang lengkap berharga beberapa ratus ribu sehingga berjuta ringgit. Pengguna kerangka utama terdiri daripada organisasi besar khususnya dalam dunia perniagaan, penyelidikan dan angkatan tentera. Superkomputer pula mempunyai tahap keupayaan yang tertinggi, terpantas dan harganya amat mahal. Superkomputer merupakan komputer yang paling hebat antara semua komputer kerana boleh memproses berbilion arahan sesaat iaitu 40 000 hingga 50 000 kali lebih cepat daripada mikrokomputer. Superkomputer biasanya digunakan untuk meramal iklim dunia dan membentuk strategi peperangan moden.
2. Minikomputer
· Minikomputer tidak sebesar kerangka utama dan tahap keupayaannya sesuai bagi organisasi yang sederhana dan tidak memerlukan kuasa kerangka utama. Pengguna berinteraksi dengan minikomputer melalui terminal sepeti dengan kerangka utama. Harga minikomputer dalam lingkungan ratus ribu ringgit. Kini, minikomputer tidak sepopular masa lampau disebabkan banyak organisasi mula membeli mikrokomputer yang semakin hebat.
3. Mikrokomputer
· Mikrokomputer merupakan sejenis komputer yang terkecil yang sesuai untuk kegunaan individu. Sejak diperkenalkan pada tahun 1975, mikrokomputer telah merevolusikan pendidikan dan cara hidup harian. Di negara kita, pada tahun 1991 sahaja, sebanyak RM 268 juta telah dibelanjakan untuk membeli kira-kira 65 000 unit PC. Angka ini dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang. Terdapat beberapa bentuk mikrokomputer dan yang paling popular ialah PC (Personal Computer) atau komputer peribadi yang banyak digunakan di pejabat, restoran, sekolah dan rumah. Mikrokomputer yang lebih kecil daripada PC termasuklah komputer pangku atau laptop, komputer notebook dan komputer poket.
No comments:
Post a Comment